Stevia Rebaudiana adalah herba renek yang berasal dari Paraguay. Rasa manis yang terhasil daripada daun tumbuhan dikatakan diguna oleh masyarakat peribumi Paraguay dan Brazil sebagai pemanis minuman, makanan dan ubat-ubatan sejak ratusan tahun lalu walaupun penggunaan pertamanya direkodkan saintis, Antonio Bertoni, di Paraguay pada 1887. Stevia tidak mengandungi kalori sungguhpun 300 kali lebih manis berbanding gula.
Stevia merupakan sejenis tumbuhan herba berbatang lembut. Untuk menanamnya, medium yang digunakan ialah dari jenis poros supaya tiada air yang akan bertakung selepas ia disiram. Tumbuhan ini memerlukan air yang mencukupi dan perlu disiram 2 kali sehari dalam cuaca panas. Ia akan cepat kering dan mati jika kekurangan air. Daunnya berbentuk bujur. Batangnya halus dan bergerutu. Dalam keadaan optimun, stevia boleh mencapai ketinggian sehingga 1 meter atau lebih. Ia mengeluarkan bunga kecil berwarna putih. Bentuk bunganya menyerupai bunga-bunga aster yang lain, cuma saiznya kecil. Bunga ini akan menghasilkan biji benih apabila matang. Pembiakan selalunya menggunakan keratan batang. Keratan batangnya mudah mengeluarkan akar. Walaupun ia boleh juga membiak menggunakan biji benih, namun kadar percambahan biji benihnya amat rendah sehingga ia jarang dibiakkan dengan menggunakan biji benih.
Pokok stevia atau "sweet honey leaf" masih belum disyorkan untuk penanaman secara komersial di negara ini meskipun ia menghasilkan bahan yang lebih sihat berbanding gula. Tumbuhan itu juga dikenal pasti tidak mengandungi kalori, lemak, karbohidrat serta toksid menjadikan ia paling sesuai sebagai pemanis semula jadi menggantikan gula dan pemanis tiruan lain seperti aspartame dan sukrosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan